Photobucket
Drama Hiburan 26 episod Setiap Sabtu jam 10.00malam mulai 24 Oktober 2009
Portal Rasmi Kau & Aku @ Murai.com.my
Photobucket

Thursday, February 25, 2010

Mila Harap Tuah Lagu Seberang

Mila Harap Tuah Lagu Seberang
(gua.com.my)

Penyanyi kecil molek, Nursyarmilla Jirin atau lebih dikenali sebagai Mila sudah agak lama tidak muncul dengan album studio terbaru.

Walau bagaimanapun, gadis yang cukup popular melalui lagu "Persis Mutiara" serta "Aku Lebih Tahu" ini bernasib baik kerana kebanyakan lagu-lagu yang terkandung di dalam album sulungnya berjaya menambat hati para peminat.

Ditambah dengan drama bersiri lakonannya, 'Kau Dan Aku' yang semakin mendapat tempat di hati peminat, membuatkan nama Mila terus bernafas dalam industri seni tempatan.

Mengakui kepentingan lagu-lagu baru untuk meneruskan kerjaya seninya, Mila ketika ditemui baru-baru ini memberitahu dia kini sedang sibuk mengumpulkan material untuk dimuatkan di dalam album keduanya.

"Setakat ini saya sudah ada tiga buah lagu dan sedang menanti tiga buah lagi lagu baru. Saya bercadang untuk memuatkan lima atau enam buah lagu sahaja di dalam album tersebut.

"Sehingga kini lagu-lagu yang sudah pasti akan dimuatkan ialah "Bla Bla Bla", ciptaan kumpulan Matta dan "Siapa Tak Perlu Cinta", ciptaan komposer Indonesia, Richard Kyoto.

"Kedua-dua lagu tersebut telah saya rakamkan di Indonesia tetapi perlu dirakamkan semula di Malaysia kerana susunan muziknya perlu diubah agar lebih serasi dengan pendengar di Malaysia," ujarnya ceria.

Ditanya apa perlunya lagu-lagu komposer Indonesia dimuatkan di dalam album tersebut, anak kelahiran Pulau Mutiara ini memberitahu, kedua-dua lagu itu sudah agak lama diperap cuma belum dirakamkan kerana terdapat beberapa masalah yang tidak mampu dielakkan.

"Bila saya mendapatkan lagu komposer Indonesia, itu bukan bermakna saya mengagung-agungkan lagu-lagu luar dan meminggirkan lagu-lagu komposer tempatan.

"Buktinya di dalam album saya ini, terdapat tiga buah lagu ciptaan Aidit Alfian yang akan bekerjasama dengan Ad Samad. Cuma sehingga kini saya masih menantikan lagu-lagu tersebut. Saya yakin dalam masa terdekat lagu-lagu itu akan saya perolehi," katanya.

Diusik dengan persoalan mengenai lagu-lagu ciptaan Aidit yang sangat sinonim dengan penyanyi remaja Elyana, bekas juara Akademi Fantasia musim kelima ini tidak menafikannya.

Namun, Mila yang sebelum ini pernah digosipkan mempunyai hubungan cinta dengan Ebi AF, optimis dengan kebolehan Aidit untuk menghasilkan lagu-lagu yang lari daripada imej Elyana dan dalam masa yang sama berupaya menonjolkan kekuatan vokalnya.

"Saya menghasilkan album kedua ini atas inisiatif sendiri. Semua perbelanjaan di tanggung oleh syarikat saya iaitu LuvMILA Corporation. Saya percaya dengan hanya adanya lagu-lagu baru, saya boleh terus bertahan dan pergi lebih jauh.

"Oleh sebab itu, saya tidak lokek untuk mengeluarkan bajet demi meneruskan kesinambungan kerjaya nyanyian saya. Sehingga kini kos keseluruhan belum tahu lagi namun ianya memakan belanja sehingga puluhan ribu ringgit. Namun saya puas kerana album ini seratus peratus citarasa Mila.

"Kalau tiada masalah, album ini akan memulakan proses rakaman pada bulan Mac ini dan dijangka akan berada di pasaran pada bulan Jun. Saya menetapkan pada bulan April, single pertama saya akan mula diputarkan di corong-corong radio," ujarnya yang begitu teruja bercerita mengenai album berkonsepkan pop rock itu.

Rehat dari dunia lakonan

Diusik dengan persoalan mengenai cinta, Mila segera menjawab sehingga kini masih belum ada cinta yang wujud di hatinya.

Katanya, usianya yang baru menjejak 22 tahun masih terlalu muda untuk memikirkan soal pasangan hidup. Ketika ini apa yang berada di dalam sanubarinya hanyalah mahu fokus dengan proses pembikinan album terbarunya.

"Demi untuk memastikan album ini berjaya, saya berehat sebentar daripada dunia lakonan. Saya mengakui berlakon memang memenatkan berbanding menyanyi kerana perlu berada lama di lokasi.

"Namun pengalaman ketika berlakon memang sukar untuk dilupakan. Buat masa ini cukuplah dulu dengan drama 'Kau Dan Aku' dan filem 'Lu Fikirlah Sendiri'.

"Memang saya ada menerima beberapa tawaran berlakon drama termasuklah sebuah filem, namun watak yang diberikan terlalu berat dan saya merasakan saya belum cukup bersedia untuk melakonkan watak sebegitu," ujarnya tenang.

Mahu jadi usahawan berjaya

Dalam pertamuan itu juga, Mila menyatakan bahawa dia kini sedang giat untuk mengembangkan syarikat miliknya. Selain memiliki LuvMILA Corporation, Mila turut mengembangkan sayapnya dalam bidang perniagaan dengan tertubuhnya LuvMILA Talent & Entertainment yang akan menguruskan aktiviti seninya serta menjalankan aktiviti yang berkaitan hiburan dan bakat.

Katanya, kedua-dua syarikat yang ditubuhkannya itu adalah sebagai bekalan pada masa depan di samping sebagai batu loncatan untuk menjadi usahawan berjaya pada masa yang akan datang.

"Sekarang syarikat saya sedang menjalankan perbincangan dengan satu pihak yang berminat untuk mengeluarkan satu produk remaja. Namun buat masa ini saya belum boleh umumkan kerana segalanya masih di dalam tahap perbincangan.

"Bukannya apa, untuk mengeluarkan produk sebegini, ianya memerlukan bajet yang agak besar. Apa yang penting bagi saya ialah cara produk tersebut dipromosikan. Selain itu, ada juga beberapa produk yang mahu mengambil saya sebagai duta produk," katanya yang sehingga kini masih menjadi duta makanan ringan Coco Pie.

No comments:

Post a Comment