Sempena dengan tahun baru ini, pasti ramai yang mempunyai sasaran baru untuk dicapai. Bagi penyanyi kecil molek Mila Jirin, dia mahukan sebuah album baru untuk dihadiahkan kepada peminat. Menurut Mila, sudah sampai masanya dia hadir dengan buah tangan terbaru, memandangkan setelah beberapa lama tidak muncul dengan sebarang album. Kali terakhir juara Akademi Fantasia musim kelima ini melancarkan album ialah pada Disember 2007 lalu menerusi album ‘Persis Mutiara’.
“Mila memang mahukan album baru untuk 2010 ini. Kalau tidak dapat album penuh, memadailah dengan mini album. Mila tahu bukan mudah untuk menerbitkan album sekarang ini. Ramai yang lebih suka muat turun lagu secara digital. Sebagai langkah permulaan, Mila akan keluarkan ‘single’ demi ‘single’ dahulu. Mungkin setelah semua ‘single’ ini popular, peminat akan lebih tertarik untuk beli album. ‘Single’ “Jika Kau Ubah Fikiran” misalnya, mendapat sambutan yang baik. Malah, jualan secara muat turun digital juga memberangsangkan.
“Buat masa ini Mila tidak meletakkan tarikh akhir untuk album terbaru itu. Tetapi seboleh-bolehnya Mila mahukan single terbaru pada bulan Mac nanti. Sekarang ini Mila sedang mencari-cari lagu yang sesuai. Kalau boleh Mila mahukan lagu yang berentak ‘pop rock’ atau genre yang lain sedikit daripada yang pernah Mila bawakan sebelum ini.
“Memang Mila sudah dapat satu lagu baru daripada seorang komposer Indonesia, tapi Mila tidak tahu lagi sama ada mahu merakamkannya atau tidak. Bukan apa, Mila lebih mengutamakan lagu-lagu daripada komposer tempatan berbanding negara jiran. Jadi, lagu komposer Indonesia itu Mila simpan dahulu,” cerita Mila panjang lebar tentang perancangan album terbarunya.
Sambung kontrak dengan AESB
Walaupun banyak cakap-cakap yang tidak elok tentang pengurusan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB), tetapi perkara ini tidak mempengaruhi Mila dalam membuat keputusan untuk terus bersama pihak pengurusannya itu. Buktinya, Mila baru sahaja menandatangani kontrak terbaru selama dua tahun lagi dengan AESB.
“Mila buat keputusan untuk terus bersama AESB sebab mereka telah banyak membantu dalam memajukan karier Mila. Ketika Maestro Entertainment ditutup dahulu, merekalah yang menghulurkan bantuan dengan mengambil Mila bernaung di bawah pengurusan mereka. Memang ada beberapa perkara yang tidak memuaskan hati berlaku, tetapi itu adat dalam perniagaan.
“Memang pada mulanya Mila rasa macam hendak bergerak sendiri, tetapi apabila difikir-fikirkan, Mila masih memerlukan AESB untuk membantu dalam promosi. Lebih-lebih lagi yang melibatkan publisiti di stesen-stesen televisyen. Bagaimanapun, sebelum sain kontrak tempoh hari, peguam Mila sudah berbincang dengan pihak AESB terlebih dahulu.
“Banyak perkara yang telah dirombak untuk kontrak baru ini dan perbincangan ini mengambil masa hampir tiga bulan. Untuk kontrak baru ini, tiada lagi keuntungan pada sebelah pihak sahaja, semuanya sama rata. Selain itu, AESB turut berjanji akan melabur untuk empat hingga ke lima lagu bagi dimuatkan dalam album terbaru Mila nanti.”
Berlakon filem
Dalam perkembangan lain, Mila akan muncul dengan filem pertamanya, ‘Lu Pikirlah Sendiri de Movie’ yang akan ditayangkan di pawagam pada 11 Februari hadapan. Dalam filem ini Mila berlakon sebagai Aishah, adik kepada Nabil (lakonan Nabil Raja Lawak). Walaupun Mila hanya mempunyai empat adegan dalam filem ini tetapi dia sempat merasai pahit manis berlakon untuk filem.
“Mila menjadi kaku apabila pengarah menyebut ‘action’. Tetapi apabila pengarah suruh berlatih, Mila boleh pula berlakon. Untuk atasi masalah itu, Kak Amy (pengarah) terpaksa sebut ‘rehearsal’ untuk adegan yang membabitkan Mila. Mungkin kerana ini percubaan pertama Mila menjadi pelakon. Drama ‘Kau dan Aku’ itu selepas penggambaran filem ini.
“Satu lagi pengalaman yang Mila tidak boleh lupa ialah Mila terpaksa menunggu giliran berlakon dalam tempoh yang sangat lama. Bayangkan, Mila datang ke set pada waktu pagi, tetapi kena tunggu sampai ke malam. Barulah Mila tahu, bukan senang hendak menjadi pelakon filem ini. Banyak masa yang perlu dikorbankan,” jelas Mila mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment