PENERBIT, pengarah serta sebilangan besar pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie, merupakan pertama kali terlibat dalam filem.
Ini merupakan filem pertama yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan SDAF Pictures (M) Sdn. Bhd.
Juga merupakan karya pertama arahan Aminah Rhapor sebagai pengarah utama serta filem pertama lakonan Nabil selepas bergelar Raja Lawak musim kedua.
Bukan itu sahaja, Lu Pikirlah Sendiri de Movie juga merupakan filem pertama bagi Puteri Sarah selepas kecewa dengan filem Aduh Saliha yang terhenti di pertengahan jalan serta filem pertama bagi juara Akademi Fantasia musim kelima, Mila yang kini mula berjinak-jinak dalam lakonan drama.
Sungguhpun rata-rata mereka tiada pengalaman terlibat dalam filem, namun Aminah seboleh mungkin berfikiran jauh merencana pelbagai strategi bagi menarik minat ramai penonton untuk bertandang ke pawagam.
Barisan pelakon yang turut terlibat dalam filem tersebut ialah Hisham Ahmad Tajuddin, Liza Othman, Meet Uncle Hussain (MUH), Zizan Raja Lawak, Vanida Imran, Faizal Tahir, Aziz M. Osman, Amy Search, Harun Salim Bachik dan Ummi Nazeera.
Memulakan tayangan pada 11 Februari ini, kata Aminah yang sebelum ini pernah terlibat sebagai penolong pengarah untuk filem Baginda dan Wayang, antara strategi yang digunakan ialah lagu.
Lagu-lagu yang digubah khas untuk filem itu, katanya, dijangka mampu menarik minat penonton.
"Pada asalnya hanya tiga buah lagu sahaja yang digunakan dalam filem ini. Namun, ketika dalam proses penyuntingan, kami merasakan penambahan beberapa buah lagu lagi serta lagu-lagu daripada kumpulan MUH dilihat bersesuaian dengan jalan cerita filem ini.
"Apabila siap dan mendengar semula lagu-lagu yang digubah dan disusun oleh pengarah muzik, Taja, memang kami rasa amat bersesuaian kerana Taja mencipta dan menyusun muzik berdasarkan babak-babak dalam filem ini.
"Ini memang merupakan salah satu daripada strategi kami, kami berbincang dan sama-sama berfikir bagaimana hendak melakukan filem ini," kata Aminah pada sidang media yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Enam buah lagu yang digubah ialah Mula (MUH feat Azlan), Tandus (MUH), Bulan (Mila) dan tiga lagu nyanyian kumpulan baru L. Danielle iaitu Harapan Palsu, Tak Keseorangan dan Plastik Retorik.
Penerbitnya, Datuk Suhaimi Othman dalam ucapannya pada majlis yang sama berpendapat bahawa penggunaan lagu-lagu yang bersesuaian perlu bagi sesebuah filem berdasarkan latar dan tema filem.
Malah, mengimbas kembali kegemilangan filem-filem Melayu hitam putih arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee misalnya, dengan hanya mendengar lagu sahaja masyarakat sudah boleh mengagak judul filem tersebut.
"Lagu-lagu memang penting untuk memberi impak pada sesebuah filem kerana secara tidak langsung ia dapat mencerminkan identiti filem itu.
"SDAF Pictures percaya dengan adanya enam lagu baru dalam filem ini ia dapat menarik minat penonton," katanya yang membelanjakan sebanyak RM70,000 bagi pembikinan lagu-lagu dalam filem tersebut.
Melihat kepada baget besar yang digunakan, apakah agaknya kekuatan sebenar bagi filem tersebut?
"Ketika proses membuat skrip lagi saya sudah mula meminta pendapat daripada orang ramai, dan rata-rata mereka yang membaca skrip filem ini mengatakan bahawa filem ini boleh jual," kata Aminah.
Selain mengangkat kisah hidup Nabil sebelum bergelar orang popular, gabungan pelakon baru dan lama juga dikatakan sebagai salah satu strategi dalam menarik minat penonton.
Filem tersebut mengisahkan tentang impian, cita-cita dan cinta. Nabil dan Natasya yang merupakan pasangan berbeza daripada semua perkara.
Mereka seperti dua garisan yang tidak mungkin bertemu di dalam kehidupan bagi melayakkan terbitnya rasa cinta antara mereka.
Seorang merupakan anak hartawan menakala seorang lagi hidup dalam serba sederhana.
Mempunyai pandangan hidup yang berbeza kerana jurang latar pelajaran yang besar di mana Natasya merupakan lulusan universiti sedangkan Nabil hanya berkelulusan SPM dan bekerja sebagai penghantar surat.
Bagi Nabil, hidupnya tidak perlu kaya asalkan tanggungjawabnya membantu keluarga dan merasa sedikit kesenangan sudah memadai.
Nabil tidak menyesal
Sebelum ini, bintang popular, Nabil pernah muncul dalam filem Sifu & Tongga yang dilakonkannya bersama pelakon komedi terkenal, Saiful Apek. Filem tersebut merupakan filem kedua lakonannya.
Lu Pikirlah Sendiri de Movie merupakan filem pertama yang membenarkan Nabil menimba pengalaman dalam lakonan filem.
Bagaimanapun, filem Sifu & Tongga terlebih dahulu menemui peminatnya di pawagam.
Lu Pikirlah Sendiri de Movie yang judulnya diambil daripada tagline Nabil ketika menyertai Raja Lawak tidak lama dahulu, pada asalnya berjudul Biarkan Kami Bercinta.
"Ini merupakan 'bayi' bagi SDAF. Saya menerima tawaran berlakon dalam filem ini ketika saya mula-mula keluar dari Raja Lawak.
"Saya mengkaji pengalaman Aminah yang sebelum ini cukup aktif di bidang teater. Bagaimanapun untuk filem dia sama seperti saya juga yang masih baru.
"Tidak kira cerita ini baik ataupun 'tergolek", ia bukan suatu penyesalan buat saya. Apa yang penting saya ambil ia sebagai satu pengalaman dan pelajaran terbaik buat saya dalam lakonan.
"Jika ada apa-apa kecacatan dalam filem ini saya harap penonton boleh menerimanya," kata Nabil mengulas lakonannya dalam filem tersebut.
No comments:
Post a Comment