KUALA LUMPUR, 21 OKTOBER 2009: Nampaknya percintaan Mila dan Akim yang tercetus dalam drama Kau & Aku terbitan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) bukanlah hanya sekadar lakonan semata-mata.
Sebaliknya, kedua-dua bintang Akademi Fantasia (AF) ini kelihatan seperti benar-benar dilamun cinta hingga di luar set. Kemesraan mereka cukup menyerlah terutama sekali apabila mereka diminta membawakan lagu tema Kau & Aku sewaktu sidang media drama itu di restoran Rainforest Borneo, baru-baru ini.
Apabila ditanyakan sejauh mana hubungan sebenar di antara mereka berdua, juara AF5, Mila yang berwajah comel serta bertubuh genit terus tersenyum.
"Mana ada kami berdua bercinta. Lagipun Akimkan masih muda. Usianya baru 18 tahun dan saya pula sudah 21 tahun. Dia ibarat seperti adik saya. Takkanlah saya hendak bercinta dengan orang yang lebih muda dari saya pula?
"Memang betul segelintir orang kata, cinta tidak mengenal usia tetapi, rasanya saya lebih suka dan lebih selesa mencari
seseorang yang lebih matang usianya daripada saya. Jadi tidak mungkin saya boleh terima Akim. Tapi, kalau orang masih bergosip tentang kami berdua, apa yang boleh saya halang," kata Mila yang mahu berkahwin pada usia 25 tahun.
Mila bersikap profesional dengan Akim
Menceritakan pengalamannya bekerja dengan Akim sebagai teraju Kau & Aku, Mila berkata, pada awalnya dia agak segan untuk menjayakan babak romantis.
"Tapi, ini hanya lakonan jadi saya akhirnya dapat mengatasi masalah itu. Alhamdulillah, saya telah cuba lakukan yang terbaik. Sekarang terserahlah kepada peminat untuk menilai sendiri lakonan kami. Setidak-tidaknya komen yang diberikan itu nanti dapat memberikan peluang kepada saya untuk memperbaiki kelemahan diri.
"Tapi, pengalaman membintangi drama ini di Jakarta sangat bermakna. Banyak benda yang telah saya pelajari seperti cara berlakon, melontarkan dialog, menghayati watak malah cara hendak menangis.
"Penggambaran dibuat pada bulan puasa dan saya berjauhan daripada keluarga. Kemudian berlaku gempa bumi di sana dan semua ini mengharukan diri saya," katanya.
Drama muzikal Kau & Aku turut dibintangi Aril (AF7), Nonny (AF5), Amar Anak Wayang, Farish. Raja Farah, Puteri Fateen Nasuha, Anita Baharom, Ika Nabila, Zoey, Azizah Mahzan, Sabrina Ali Khan, Riezman Khuzaimie dan Sharifah Saadah.
Ia turut diserikan lagi oleh Hafiz (AF7), Stacy (AF6) dan Dafi (AF5) sebagai penampilan istimewa. Jangan lupa saksikan drama hiburan bersiri 26 episod ini pada 24 Oktober 2009 ini bermula jam 10 malam, hanya di Astro Ria.
No comments:
Post a Comment