Photobucket
Drama Hiburan 26 episod Setiap Sabtu jam 10.00malam mulai 24 Oktober 2009
Portal Rasmi Kau & Aku @ Murai.com.my
Photobucket

Wednesday, October 21, 2009

Mila, Akim serasi bersama


Mila, Akim serasi bersama

(taken from Sinar Harian)

Buat pertama kalinya, bintang realiti, Mila atau nama sebenarnya Noor Syarmilla Jirin, akan beraksi dalam drama muzikal Kau & Aku dan akan bergandingan dengan bintang AF baru, Akim, yang namanya kini semakin meniti di bibir peminat.

Berlakon sebagai kekasih, aksi mereka yang begitu mesra dan romantik ketika mendendangkan lagu tema Kau & Aku semasa pelancaran drama itu berlangsung di Rainforest Sports Bar, Pavillion, Kuala Lumpur, berjaya mencuri tumpuan orang ramai yang berada di situ. Malah sedutan drama yang ditayangkan juga menunjukkan keakraban mereka sebagai pasangan kekasih.

Akui serasi di samping Akim, Mila bagaimanapun mengharapkan agar hubungan mereka tidak disalah ertikan oleh masyarakat. Menurut Mila, hubungannya dengan Akim tidak lebih dari sekadar kawan biasa.

“Tak mungkin saya akan bercinta dengan Akim. Dia lebih muda dari saya, dan saya tak akan bercinta dengan lelaki muda. Terus-terang, saya sukakan lelaki yang matang dan kalau ingin mencari jodoh sekalipun saya akan pilih yang lebih berusia dari saya.

“Lagipun usia saya sekarang pun masih terlalu muda, baru 21 tahun. Kalau nak bercinta pun tunggulah usia saya 27 tahun nanti,” kata Mila yang pernah digosipkan dengan orang kenamaan sebelum ini.

Ketika diajukan tentang aksi lakonannya dengan Akim yang terlalu mesra sehingga berpegangan tangan dan berpelukan antara satu sama lain, dengan tenangnya, Mila menjawab, dia hanya menjalankan tugasnya sebagai pelakon. Jelas Mila, memang pada mulanya dia agak keberatan untuk melakonkan aksi sebegitu, namun sebagai pelakon dia harus bersikap profesional.

Gempa bumi ketika ‘shooting’ di Jakarta, Indonesia

Disebabkan ingin mencuba sesuatu yang baru, maka gadis kelahiran Pulau Mutiara ini tidak teragak-agak untuk menerima tawaran membintangi drama muzikal yang julung kalinya diterbitkan oleh stesen TV berbayar, Astro. Menurut Mila, dia bukan sahaja dapat belajar menghayati watak, tetapi dia juga berpeluang menyanyi dan menari dalam satu masa yang sama.

“Berlakon ni memang susah, sebab itulah saya tak nak berlakon. Tapi drama ini lain sikit, walaupun watak Mila agak berat, tetapi ia sangat menyeronokkan. Sebab kita boleh menyanyi dan menarik. Malah kawan-kawan pun ramai.

“Dalam drama ini, Mila membawa watak seorang gadis kampung yang menyambung pelajaran di kolej. Berlaku bermacam konflik, termasuklah cinta tiga segi di mana, kekasih lama Mila, Aril kembali menagih cinta sedangkan ketika itu Mila bercinta dengan Akim,” katanya yang pernah membintangi telemovie raya, Meriam Buluh, di Astro Prima.

Bercerita lebih lanjut tentang drama muzikal kerjasama Malaysia dan Indonesia ini, kata Mila, pelbagai pengalaman yang dapat dirasainya sepanjang dua bulan menjalani penggambaran di Jakarta, Indonesia.

“Masa tu bulan puasa jadi memanglah penat sikit. Sebenarnya, ini kali pertama saya bekerja dengan produksi di sana. Mereka memang cepat buat kerja, bayangkan drama sepanjang 26 episod ini boleh siap dalam masa 45 hari sahaja. Di sini kami shooting untuk semua babak yang melibatkan indoor. Untuk babak di luar pula dilakukan di Malaysia. Itu pun hanya mengambil masa selama seminggu.

“Paling saya tak dapat lupakan, berlakunya gempa bumi. Masa itu, saya dalam studio dan tengah salin baju. Memang Mila dapat rasa kepala bergoyang-goyang tapi tak sangka pula gempa bumi, sebab tak pernah rasa sebelum ini. Bila orang menjerit gempa bumi, mulalah, panik dan keluar cepat-cepat. Apa pun, mujurlah kami semua selamat tetapi traumanya masih dapat kami rasai sampai sekarang,” kata juara Akademi Fantasia musim kelima ini.

Drama muzikal yang berjudul Kau & Aku yang akan ditayangkan di Astro Ria pada 24 Disember ini turut dibintangi ramai bintang muda, antaranya Ika Nabila, Raja Farah, Anita Baharom, Amar Anak Wayang, Chichi dan juga pelakon senior seperti Azizah Mahzan, Sabrina Ali dan Riezman Khuzaimi.

Kau & Aku mengisahkan kehidupan suka duka sekumpulan pelajar di Kolej Persembahan Seni Harmoni. Di sinilah segala mimpi, cita-cita, bakat dan cinta bermula. Persahabatan Mila dan Akim memutikkan cinta remaja. Namun, segalanya tidak seindah yang disangka dek muncul watak-watak yang sentiasa dengki dan iri hati.

Nyanyian tetap jadi keutamaan

Tidak meletakkan lakonan sebagai keutamaan, gadis kecil molek ini akan terus merangka kariernya dalam bidang seni suara. Tampil dengan single terbarunya, ‘Jika Kau Ubah Fikiran’ hasil kerjasama Astro Entertaiment dan KRU Sdn Bhd, Mila mahu menyusul dengan album kedua tidak lama lagi.

“Ini semua masih dalam perancangan dan kami pun masih mengumpul material. Buat masa ini, biarlah Mila muncul dengan single dulu, sebab pasaran sekarang pun susah nak jual album. Lagipun Mila terlibat dengan rangka promosi untuk single ‘Kau & Aku’ dalam drama ini,” katanya yang turut aktif menjalankan perniagaan kosmetik di bawah syarikatnya, LuvMila Corporation.

No comments:

Post a Comment